Followers

Monday, September 23, 2019

BBM3410Satu2019: Etika Penulisan Blog

Blog merupakan satu medium perbincangan bertulis sama ada dalam bentuk formal atau tidak formal. Mengikut erti kata lain, blog boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, seperti tujuan peribadi iaitu sebagai diari harian serta boleh juga digunakan untuk tujuan perniagaan bagi mempromosikan dan memperiklankan produk sendiri.

Namun, sesiapa sahaja yang ingin menulis blog, seharusnya mengambil kira etika dalam penulisan blog supaya blog yang dihasilkan bukan sahaja menarik, tetapi juga berkualiti. Dalam buku Eh! Media Sosial, Normaliza Abd Rahim (2014) dalam Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019) telah menggariskan 10 cara penulisan blog yang baik yang sedikit sebanyak dapat dijadikan panduan untuk saya dan penulis di luar sana.


Cara yang pertama ialah sesuatu blog itu perlu mempunyai tajuk yang dapat menarik perhatian pembaca. Hal ini penting kerana tajuk blog ia adalah baris ayat yang pertama sekali akan dibaca.

Pastinya ia akan mencetuskan persepsi awal dalam minda pembaca. Misalnya, anda ingin menulis tentang cara untuk menabung dengan mudah. Elakkan tajuk seperti 'Cara Mudah untuk Menabung', sebaliknya fikirkan tajuk yang santai dan tidak klise seperti '10 Langkah Mudah Menabung yang Wajib Anda Ketahui! Tajuk seperti ini pastinya membuat pembaca teruja dan timbul minat untuk membaca idea-idea anda.
Cara yang kedua ialah cerita yang menarik hati pembaca. Cerita perlulah singkat tetapi padat dan tidak meleret-leret kerana mendapatkan perhatian pembaca bukanlah sesuatu yang mudah, jadi olahan cerita perlulah menarik untuk mengekalkan pembaca membaca blog kita. Cerita yang anda ingin sampaikan perlulah sesuai dengan pembaca sasaran kita supaya pembaca tidak bosan dengan topik yang anda sediakan. 

Cara ketiga ialah selitkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk menarik pembaca ke laman blog anda. Pembaca pada masa kini tidak gemar dengan ayat yang terlalu baku atau formal dan penyampaiannya yang berat kerana pembaca akan mudah bosan. Jadi, penulis blog perlu bijak  memasukkan unsur-unsur jenaka sesuai dengan kehendak pembaca blog anda.

Cara keempat ialah pastikan ada hujah terbaik untuk menghuraikan penulisan anda. Hujah terbaik ini bermaksud anda cuba mengeluarkan pengisian yang berilmiah untuk menyokong tindak tanduk dalam coretan anda. Anda perlu betul-betul tahu dan faham tentang idea yang ingin disampaikan pada pembaca untuk membolehkan penulisan ada mempunyai hujah yang dapat membuatkan pembaca berasa yakin dengan topik yang anda kongsikan.

Cara kelima dalam penulisan blog yang baik ialah penulis perlu mengaitkan penulisan dengan berita terkini supaya penulisan blog anda tampak segar, hebat dan mengikuti perkembangan semasa. Pembaca juga dapat info dan input yang berguna daripada berita yang ditampilkan kerana pastinya perasaan ingin tahu mereka berkobar-kobar apabila anda mengaitkan penulisan dengan isu semasa.

Cara keenam ialah menggunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas untuk menghasilkan blog yang baik. Apa saya  maksudkan di sini, tidak perlu gunakan ayat bombastik atau berjela-jela dalam penyampaian anda kerana ayat yang panjang cenderung disalahertikan, lewah, malah mungkin tidak komprehensif. 

Cara ketujuh, blog anda perlulah dapat dibaca dan mudah difahami. Ciri-ciri penulisan yang baik adalah penulisan yang jelas dan mudah difahami oleh semua lapisan pembaca. Jadi, penulis perlu memastikan pembaca dapat memahami dengan mudah apa yang cuba di sampaikan oleh penulis tanpa sebarang kekeliruan. jika anda dapat menghasilkan kandungan yang jelas untuk difahami, ia pasti akan membantu memudahkan pembaca melihat nilai yang terkandung di dalam artikel blog tersebut. Dan hasilnya, mereka akan meneruskan pembacaan.

Cara kelapan ialah berkomunikasi dengan pembaca. Berkomunikasi dengan pembaca merupakan perkara penting dalam penghasilan blog. Berkomunikasi boleh terjadi dari pelbagai sudut iaitu berkomunikasi menggunakan alat perbualan di bahagian tepi blog. Alat perbualan itu boleh dimasukkan menggunakan cara-cara tertentu. Dari situ, penulis dalam berkomunikasi dengan pembaca. Selain itu, komunikasi boleh berlaku di ruangan komen. Sekirany pembaca puas hati atau ada pertanyaan, mereka boleh isi ruangan komen.

Penulis juga boleh memasukkan moral dan nilai estetika dalam penulisan. Penulisan yang mempunyai moral dan nilai estetika dapat menyentuh hati pembaca dan hal ini dapat mendekatkan pembaca untuk terus membaca blog. Selain itu, memasukkan moral dan nilai estetika juga menjadikan penulisan lebih berkualiti dan mempunyai nilai yang tinggi. Hal ini berbeza dengan penulisan blog yang biasa dan nampak kosong.

Cara yang terakhir ialah penulis perlu berilmu untuk penulisan pendidikan. Penulis tidak patut menyalin info daripada blog lain tanpa mengetahui tentang ilmu tersebut. Penyampaian penulisan pendidikan yang tidak tepat hanya akan memberikan maklumat yang salah. Maklumat yang salah pula akan memberikan kesan yang tidak baik kepada pembaca. Hal ini kerana sudah menjadi kebiasaan masyarakat untuk mempercayai kandungan blog tanpa usul periksa. Oleh itu, penulis juga perlu memastikan diri 
berilmu untuk penulisan pendidikan.

Sekian Terima Kasih

No comments:

Post a Comment

BBM3410SATU2019: INSTAGRAM MINGGU 6

Minggu ni gambar-gambar yang berbaur kesenduan, macam takde kehidupan bukan? hakikatnya saya gembira dengan hidup saya kerana saya ...